Berdepan cabaran dari dalam & luar: Apa masa depan Felda dan Industri Kelapa Sawit kita?

sawit

Kelapa sawit telah menjadi salah satu sektor utama dalam ekonomi Malaysia sejak bermulanya penanaman kelapa sawit secara komersial di Selangor pada tahun 1917. Kini, ia merupakan sumber pendapatan utama bagi ribuan pekebun, pengusaha kecil, dan besar di seluruh Malaysia.

Seperti negara jiran Indonesia, Malaysia juga merupakan pengeluar dan pengeksport kelapa sawit berskala besar sambil memenuhi keperluan tempatan. Namun dengan pelbagai cabaran yang telah dilalui, timbul rasa gusar tentang ke mana arah penanaman kelapa sawit dan untuk Felda khasnya.

Industri kelapa sawit seringkali dimomokkan oleh media antarabangsa sebagai suatu jenis penanaman yang tidak mesra alam dan lestari. Pada tahun lalu misalnya, Reuters menyenaraikan kronologi ‘perbalahan’ dua blok sejak 2017 hingga awal 2023, berlaku antara pengeluar minyak kelapa sawit Asia dan Kesatuan Eropah (EU). Bagaimana Malaysia menangani cabaran ini?

Via WWF

Elak nasib seperti industri getah, Felda kena ada strategi

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memainkan peranan penting dalam menjamin kelestarian industri kelapa sawit Malaysia, mengelakkan nasib yang sama seperti yang menimpa sektor getah negara. Demikian disebutkan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Dengan kepemilikan tanah perladangan seluas 800,000 hektar di Malaysia, Felda memegang peranan strategik dalam menumpukan usaha untuk meningkatkan pengeluaran dan memajukan sektor hiliran kelapa sawit. Kepemilikan tanah yang besar ini memberikan keupayaan untuk Felda agar ia mengawal sebahagian besar tanah yang digunakan untuk penanaman kelapa sawit di Malaysia. Langkah ini akan memberi kesan langsung kepada pengeluaran kelapa sawit negara secara keseluruhan.

Via The Malaysia Reserve

Namun begitu, terdapat kegusaran tentang prestasi pengeluaran negara. Bayangkan, Malaysia mengeluarkan 19.5 juta tan sawit manakala Indonesia menghasilkan 26 juta tan pada 2013. Dalam tempoh 10 tahun, pengeluaran negara menurun kepada 18.5 juta pada 2023 manakala negara jiran itu terus meningkatkan hasil kepada 46.5 juta.

BACA  Pengumuman Dividen Tabung Haji 2023/2024 & Cara Semakan

Peningkatan ini selari dengan perkembangan penggunaan hasil sawitnya kepada industri tempatan. Separuh hasil sawit Indonesia digunakan untuk pengeluaran biodiesel, manakala Malaysia masih mengeksport 15 juta tan kepada pasaran dunia. Dari satu segi, kaedah pengeksportan sedikit sebanyak membuatkan prestasi eksport akan bergantung pada persepsi dan sentimen luar tentang industri kelapa sawit.

Via Malaysiakini

Potensi pertumbuhan masih ada, digugat oleh beberapa faktor

Malaysia masih lagi memiliki potensi pertumbuhan yang baik, walaupun digugat dengan faktor luaran dan dalaman yang dapat mengugat penurunan produktiviti. Hakikatnya, penurunan produktiviti dalam industri kelapa sawit di Malaysia merupakan isu serius yang perlu ditangani dengan segera.

Salah satu punca utama penurunan produktiviti adalah kekurangan buruh. Sebahagian besar tanah yang digunakan untuk penanaman kelapa sawit masih belum dimanfaatkan sepenuhnya disebabkan oleh masalah kekurangan pekerja.

Pengurangan yang ketara dalam bilangan pekerja Indonesia, yang sebelum ini menyumbang kepada industri kelapa sawit Malaysia, turut menyumbang kepada masalah kekurangan buruh ini. Pemulangan pekerja Indonesia ke Indonesia telah meninggalkan kekosongan buruh dalam sektor kelapa sawit Malaysia, memaksa industri mencari alternatif gantian untuk menjalankan operasi harian.

Selain itu, kesan perubahan iklim juga merupakan faktor yang menyumbang kepada penurunan produktiviti dalam industri kelapa sawit. Perubahan iklim seperti cuaca ekstrem dan peningkatan suhu boleh memberi kesan negatif kepada pertumbuhan kelapa sawit serta prestasi hasil. Oleh itu, langkah-langkah perlu diambil untuk mengadaptasi kepada perubahan iklim ini dengan memperkenalkan teknologi dan amalan pengurusan yang sesuai.

Via The New Food Magazine

Industri hiliran boleh rancakkan produktiviti , tingkatkan permintaan dalaman untuk kelapa sawit

Industri hiliran juga perlu dipergiatkan agar pasaran tempatan mampu berdaya saing dan turut dapat memanfaatkan industri kelapa sawit. Bahkan, industri hiliran kelapa sawit juga terdiri daripada rantaian pelbagai pembangun dan pemain seperti kilang minyak kelapa sawit, industri biodiesel, industri makanan dan minuman, kosmetik dan sabun serta bermacam lagi.

BACA  Beza pelan ekonomi digital antara Malaysia dan China
Via Tribune India

Rantaian ini juga merupakan sebahagian dari ekonomi kitaran (circular economy) yang tercipta dari sesebuah industri. Secara amnya, konsep kitaran adalah suatu konsep guna, pulang dan cipta semula (use, return, and re-create) dan amat memerlukan kerjasama semua pihak.

Dengan mengaplikasikan konsep kitaran secara efektif, industri hiliran kelapa sawit di Malaysia dapat terus berkembang di samping menjaga kelestarian alam sekitar. Secara langsung, masa depan kelapa sawit dan Felda akan lebih cerah, lalu dapat memberikan lebih banyak ruang munculnya pemain dan penggerak industri hiliran tempatan.

One thought on “Berdepan cabaran dari dalam & luar: Apa masa depan Felda dan Industri Kelapa Sawit kita?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *