Dengan situasi pasaran sekarang, produk ciplak masih lagi popular dijual di mana-mana saja. Dalam talian pun ada, luar talian seperti pasar malam dan kedai runcit pun tidak terkecuali. Populariti ini dikukuhkan lagi dengan permintaan orang ramai yang lebih mahukan barangan tiruan kerana nilai komersial sesebuah jenama.
Lazimnya, perniagaan barang tiruan ini memberi ruang kepada para pembeli untuk memiliki sesuatu produk berkualiti rendah dengan harga yang murah. Kini, barangan tiruan turut merangkumi pasaran yang mempunyai permintaan tinggi seperti gajet elektrik dan elektronik, ubat-ubatan dan rokok elektronik.
Ketahanan pasaran barangan tiruan tidak bermakna ia bebas dari sebarang kesan negatif. Banyak impak negatif yang terpaksa ditanggung oleh sesebuah negara akibat dari pasaran barangan tiruan. Bukan itu sahaja, pasaran tersebut ternyata merugikan semua pihak khususnya pihak pembeli itu sendiri walaupun secara luarannya, ‘keuntungan’ pada pembeli bergantung pada harga belian yang murah.
Pengeluar jadi runsing kerana jaga jenama, khuatir ada unsur penipuan
Apabila wujudnya pasaran barangan ciplak, ini akan menimbulkan kebimbangan dari sisi syarikat jenama yang ditiru. Ia merupakan suatu persaingan langsung antara syarikat jenama sebenar dan pengeluar barangan tiruan.
Dalam banyak kes, pasaran didominasi oleh pengeluar barangan tiruan dan boleh menyebabkan pengeluar barang sebenar akan menimbangkan semula keputusan untuk mengedarkan barangan mereka ke dalam negara yang tidak memiliki polisi anti-tiruan yang baik.
Bukan itu saja, para pengguna juga boleh rasa tertipu apabila membeli barangan tiruan. Beberapa tingkah laku pembeli yang lazimnya terjadi apabila hal ini berlaku adalah menyalahkan syarikat pengeluar jenama barang tersebut termasuklah syarikat pengeluar barangan sebenar.
Imej jenama tercalar dan reputasi yang dibina boleh rosak, lagi-lagi untuk jenama yang mahukan produk mereka dikaitkan dengan eksklusiviti dan kualiti tinggi.
Kos yang ditanggung juga akan menjadi lebih tinggi, terutamanya apabila tindakan perundangan diambil untuk menjaga hak cipta dan hak intelektual sesebuah produk. Inisiatif mewujudkan cap dagangan juga kadangkala tidak mematahkan operasi penjualan produk tiruan. Oleh sebab itu, pihak pemegang hak cipta dan cap dagangan perlu mengeluarkan sejumlah besar perbelanjaan untuk menangani produk-produk tiruan.
Ramai tarik diri jika tidak dibendung, faktor keselamatan pengguna tidak terjamin
Pasaran produk tiruan juga boleh menyebabkan pelaburan asing menurun. Apabila sesebuah negara tidak dapat melindungi hak cipta dan hak intelektual jenama khususnya jenama dari pelabur asing, sudah tentu mereka tidak rasa berbaloi untuk mengedarkan, apatah lagi membina kilang pembuatan mereka secara in-situ.
Peluang pekerjaan dan peluang membina rantaian ekosistem lain juga tergugat. Para pengguna juga tidak dapat jaminan keselamatan semasa menggunakan barangan tiruan, ditambah pula biasanya para pengeluar barangan tiruan tidak memiliki pasukan perkhidmatan pelanggan yang mampu membantu para pengguna sekiranya wujud masalah berkaitan produk.
Selain itu, kita juga banyak membazirkan sumber baik dari segi tenaga dan sumber manusia dalam usaha membendung masalah produk tiruan. Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin, usaha rampasan yang dilaksanakan sukar mengekang barang tiruan masuk ke dalam negara terutamanya dengan modus operandi sesetengah pengedar barangan tiruan.
“Misalnya, pakaian tiruan yang dibawa masuk dari Bangladesh, kebanyakannya masuk tanpa sebarang jenama dan selepas lepas dari pemeriksaan pihak berkuasa, baik di pelabuhan atau di lapangan terbang, sindiket akan memasangkan jenama tiruan dan membuat cetakan di dalam negara.
Ketika dibawa masuk, ia tidak menjadi kesalahan sebab tiada jenama atau jenama syarikat pada item. Kerana yang dipaten dan didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) adalah jenama paten itu saja (setelah ia dipasangkan jenama),”- seperti yang dipetik dari Harian Metro
Pengguna tetap akan rugi apabila beli produk tiruan, barangan tempatan alternatif terbaik
Produk tiruan hanya akan merugikan para pengguna, terutamanya apabila berlaku unsur penipuan dalam proses jual beli tersebut. Bayangkan jika anda membeli barangan tiruan, anda hanya membayar sejumlah wang yang nampak lebih kecil nilainya jika dibandingkan dengan harga produk sebenar. Walau bagaimanapun, kualiti yang ada dalam produk tiruan itu sebenarnya lebih rendah tarafnya berbanding jumlah belian tersebut.
Sementara kita cuba membendung masalah barangan tiruan, teknologi tempatan juga semakin meningkat. Berkat usaha kerajaan dan pendemokrasian ilmu yang terhasil dari globalisasi Internet, kini rakyat tempatan juga mampu menghasilkan produk yang berkualiti tinggi.
Begitu juga dengan rancangan-rancangan pembangunan usahawan yang seringkali dianjurkan dari peringkat kerajaan mahupun peringkat swasta; ini membolehkan negara melahirkan usahawan-usahawan yang berjaya menempa nama dalam industri-industri yang diceburi.