Rakyat Malaysia perlu bijak berbelanja

Mengikut laporan kaji selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan 2018, masih ramai rakyat Malaysia mempunyai tahap keyakinan rendah, terutama dalam merancang kewangan mereka.

Ia semestinya memberi impak tidak sihat kepada kesejahteraan kewangan rakyat, terutama di kala berdepan pandemik.

Oleh itu, sedikit pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan amat penting dalam membantu membuat perancangan kewangan, terutama ketika mendepani situasi mencabar dan tidak dijangka.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Syed Zaid Albar, menyatakan pengurusan kewangan penting masa kini di mana kita perlu belajar dan mengadaptasi senario semasa.

Ini penting dalam membantu kita membuat perancangan kewangan lebih baik memandangkan aspek pengurusan kewangan satu penanda aras dalam membantu kesejahteraan kehidupan.

Secara asasnya, literasi kewangan merujuk ilmu pengetahuan dan pemahaman seseorang individu mengenai pelbagai aspek kewangan yang dapat membantu menguruskan wang, kewangan peribadi, hutang, pelaburan dan sebagainya.

Pengurusan wang penting dalam mengetahui dan mengenal pasti aspek keperluan dan kehendak. Kedua-dua ini sentiasa berubah mengikut keadaan dan situasi semasa seperti kecemasan, persaraan, pendidikan, perlindungan, harta tanah dan sebagainya.

Apabila seseorang individu celik pengurusan kewangan, ia membantu menguruskan sumber terhad lebih baik. Contohnya dalam perbelanjaan membeli barangan keperluan, di mana tidak semuanya amat diperlukan.

Dengan ilmu pengurusan kewangan, ia membantu membuat keputusan dalam merancang perbelanjaan. Literasi kewangan juga membantu mengenal pasti corak perbelanjaan – apa perlu diberi keutamaan.

Adakah kehendak boleh mengatasi keperluan atau keperluan mengatasi kehendak. Sebagai pengguna, sememangnya kita mempunyai kehendak yang tiada had, tetapi sumber diperoleh amat terbatas.

Justeru, memenuhi perbelanjaan keperluan perlu diberi keutamaan berbanding kehendak. Pengagihan perbelanjaan mengikut keperluan dan kehendak perlulah dilakukan untuk memastikan sumber kewangan yang ada mencukupi dan mempunyai lebihan untuk disalurkan kepada penyimpanan mahupun digunakan di kala kecemasan.

BACA  Ini penipuan Internet yang banyak berlaku di Malaysia

Literasi kewangan juga membantu setiap individu terhindar daripada sebarang penipuan berkaitan kewangan yang berleluasa kini. Dengan adanya sifat lebih peka dan berhati-hati dalam menerima maklumat diperoleh dapat mengelakkan ditipu.

Selain itu, ia juga dapat membantu individu berhemah dalam perbelanjaan agar terhindar daripada terjerumus ke arah muflis. Ia keadaan yang sememangnya amat ditakuti.

Tuntasnya, penting sekali mendidik individu bagaimana mengendalikan sumber kewangan yang ada. Oleh itu, ambillah peluang dengan mengikuti apa jua aktiviti atau program berkaitan literasi kewangan supaya memperoleh ilmu pengetahuan, demi pengurusan kewangan berhemah dan seterusnya membentuk hidup sejahtera.

SUMBER

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *