TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) menerima sumbangan zakat korporat berjumlah RM36,005.73 daripada UAC Berhad, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), pada satu majlis ringkas di Bangunan Canselori UPSI, kelmarin.
Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed berkata, sumbangan itu bertujuan mewujudkan Dermasiswa Khas WEZAS@UAC Berhad yang bakal ditawarkan kepada anak-anak veteran Angkatan Tentera yang sedang melanjutkan pengajian di UPSI.
Menurut beliau, inisiatif itu amat bermakna kerana mampu memberi peluang pendidikan kepada golongan pelajar yang memerlukan.
“UPSI amat menghargai sokongan UAC Berhad kerana melalui dermasiswa khas ini, anak-anak pesara tentera bukan sahaja mendapat bantuan kewangan tetapi juga sokongan moral untuk meneruskan pengajian dengan lebih yakin.
“Kami percaya sumbangan ini akan menyuntik semangat pelajar untuk terus berjaya, sekali gus membuktikan bahawa kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian,” ujar beliau.
Majlis serahan disempurnakan oleh Pengurus Besar, Pengurusan Kerajaan, Kawal Selia dan Pemegang Taruh UAC Berhad, Mohd Najib Mohd Seth.
Mohd Najib berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyalurkan zakat korporat kepada UPSI melalui WEZAS kerana yakin universiti itu mempunyai mekanisme yang telus dalam menyalurkan bantuan kepada pelajar.
“Sebagai anak syarikat LTAT, kami sentiasa prihatin terhadap kebajikan veteran Angkatan Tentera dan keluarga mereka.
Menurutnya, melalui jaringan kerjasama itu, penerima dermasiswa bukan sahaja menerima bantuan kewangan, malah turut diberikan bimbingan dalam aspek keusahawanan bagi meningkatkan nilai tambah kemahiran diri sepanjang pengajian.
“Dengan terwujudnya Dermasiswa Khas WEZAS@UAC Berhad, kami berharap ia dapat membantu anak-anak pesara tentera di UPSI menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran, di samping memberi nilai tambah melalui bimbingan keusahawanan yang disediakan,” katanya.
Dalam pada itu, WEZAS turut merakamkan penghargaan kepada UAC Berhad atas kepercayaan menyalurkan dana zakat wakalah bagi tahun 2025 melalui universiti itu.
Turut hadir, Pengurus Kanan Sumber Manusia UAC Berhad, Syed Mokhdzar Syed Idrus; Ketua Bahagian Projek UAC Berhad, Mohd Hafiz Mohamad; Jurutera Kanan UAC Berhad, Ts. Mohd Saifuddin; Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril.
Disediakan oleh: Bazli Razak – Pegawai Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).