Perlu lebih RM5,000 untuk keluarga seorang anak? Ini 5 persiapan kewangan untuk bakal ibu bapa

Setiap pasangan yang sudah berkahwin pasti mahu menimang cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga. Bahkan  melahirkan anak juga sudah menjadi salah satu tujuan perkahwinan iaitu sebagai penerus generasi kita yang akan datang.

Walaupun anak itu boleh dikategorikan sebagai rezeki daripada Allah SWT, namun ia juga adalah amanah dan tanggungjawab yang berat.

Setiap anak perlu ditunaikan hak mereka dengan selayaknya. Sebagai contoh, memberi mereka makan minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kasih sayang daripada ibu bapa atau penjaga.

Gambar Hiasan- Pinterest

Oleh itu, sebelum menerima kehadiran cahaya mata, setiap pasangan seharusnya telah mempersiapkan kemampuan kewangan dan kemahiran keibubapaan mereka agar dapat memenuhi tanggungjawab sebaiknya.

Jika memang belum mampu, penting untuk membuat perancangan keluarga (pencegah kehamilan mengikut syarak) terlebih dahulu, agar kelak tidak membebankan pasangan dan menzalimi anak yang bakal lahir.

Oleh itu, penting untuk kita menilai semula, adakah kita sudah benar-benar bersedia, terutamanya dari segi kewangan sebelum menerima keahlian baru (anak) dalam keluarga?

Merancang Bajet yang Realistik

Sebelum menyambut kehadiran anak, penting untuk anda kenal pasti keperluan asas bayi seperti lampin, pakaian bayi, peralatan menyusu, dan keperluan-keperluan lain.

Sebagai langkah keselamatan, anda juga harus menetapkan belanjawan bulanan yang realistik agar perbelanjaan dapat diuruskan dengan baik.

Anak
Contoh Anggaran Perbelanjaan Bagi yang Menetap di Lembah Klang- Belanjawanku, eCentral

Sebagai contoh, anda juga boleh menyemak anggaran perbelanjaan bagi sebuah keluarga dengan tanggungan seorang anak mengikut kawasan melalui platform kewangan seperti Belanjawanku dari KWSP.

Melalui aplikasi tersebut, anda dapat mengawasi perbelanjaan dan mengelakkan pembaziran bagi barangan yang tidak bermanfaat.

Menurut artikel di theAsianparent Malaysia, perbelanjaan bulanan untuk bayi boleh merangkumi kos susu formula, lampin, makanan pejal, rawatan perubatan, dan penjagaan anak.

Sebagai contoh, kos susu formula yang  boleh mencecah antara RM150 hingga RM200 sebulan, manakala lampin sekitar RM30 setiap pek.

Disebabkan barangan bayi juga tidak akan dipakai lama, kerana mereka cepat membesar, maka pembelian juga perlu dikawal dan tidak berlebih-lebihan. Oleh itu, perancangan rapi jelas akan sangat membantu anda berjimat.

Menyediakan Dana Kecemasan

Anak
Gambar Hiasan- Pinterest

Sebelum kehadiran anak sahaja anda sudah perlu menyediakan simpanan kecemasan, apatah lagi setelah atau sedang menanti keadaan tersebut.

Simpanan tambahan sangat penting untuk menghadapi situasi tidak dijangka, seperti rawatan kesihatan, servis kenderaan atau pembelian mendadak.

Ketika isteri sarat mengandung, dia pasti akan mengidam makanan tertentu, kerap ke hospital dan sebagainya. Situasi sebegini jelas memerlukan perbelanjaan dari segi penyelenggaraan kenderaan, ubat-ubatan dan kos bahan makanan.

Menurut kajian Babycentre, 41% rakyat Malaysia memilih melahirkan bayi di hospital swasta yang boleh menelan belanja sebanyak RM5,800 dan RM17,000 bagi kaedah caesarean atau bedah.

Kos Kesihatan Keluaran Hospital-hospital Di Malaysia- AIA

Ini tidak termasuk keadaan setelah melahirkan, seandainya anak tiba-tiba disahkan menghidap sebarang penyakit (minta dijauhkan), penjagaan isteri ketika berpantang dan memerlukan kos rawatan yang mahal, maka dana kecemasan inilah yang akan digunakan.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) juga, kita disarankan untuk mempunyai simpanan kecemasan sekurang-kurangnya 3 hingga 6 bulan perbelanjaan asas bulanan.

Panduan ini jelas bertujuan memastikan kita bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran kewangan yang tidak dijangka kedepannya.

Melabur dalam Insurans Kesihatan

Gambar Hiasan- Pinterest

Sebagai langkah berjaga-jaga juga, anda boleh mendapatkan insurans kesihatan bagi bayi anda bagi mengurangkan kos perubatan. Ini termasuk pemeriksaan rutin dan rawatan kesihatan tambahan.

Secara purata, lawatan untuk suntikan imunisasi berharga antara RM70 hingga RM150 bagi setiap lawatan di klinik pediatrik swasta. Melalui insurans, kos kesihatan bayi dapat diminimumkan.

Terdapat beberapa pelan insurans di Malaysia yang membolehkan pengguna menikmati kelebihan seperti perlindungan gangguan autisme, penjagaan bayi hingga had umur tertentu, perlindungan bayi jika menghidap penyakit kritikal dan sebagainya.

Oleh itu, jelas bahawa bersedia dengan pelan insurans kesihatan bagi anak yang bakal dilahirkan merupakan antara kaedah bijak memelihara kewangan bagi berdepan kos rawatan yang semakin tinggi.

Merancang Simpanan Jangka Panjang

Anak
Gambar Hiasan- Pinterest

Kita semua tahu bahawa biaya pendidikan itu memakan kos yang agak tinggi, lebih-lebih lagi apabila anda berhajat untuk membawa anak anda belajar sehingga ke menara gading.

Oleh itu, penting untuk anda mulakan tabungan pendidikan anak sejak awal. Simpanan juga  akan lebih mudah dibuat jika tanggungan anda masih kecil (baru 1 orang anak).

Sebagai alternatif, anda boleh mempertimbangkan instrumen pelaburan tempatan seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang ditawarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Poster Promosi SSPN-i

Skim ini bukan sahaja membantu dalam menyediakan dana pendidikan, tetapi juga memberikan pelepasan cukai dan dividen yang menarik (4% hingga 5%).

Tambahan pula, ramai pakar kewangan tempatan juga mencadangkan unit amanah yang ditadbir syarikat-syarikat pelaburan yang diiktiraf di Malaysia, seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), yang memberikan pulangan stabil dan risiko rendah untuk simpanan jangka panjang.

Pembelian emas juga merupakan pilihan pelaburan jangka panjang popular dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia.

Mereka sering membeli emas dalam bentuk jongkong atau barang kemas untuk diwariskan kepada anak-anak mereka terutamanya untuk tujuan pendidikan.

Mengelakkan Hutang Tidak Perlu

Anak
Gambar Hiasan- Pinterest

Langkah terakhir tetapi penting dan perlu dititikberatkan ialah elakkan dari mengambil hutang yang tidak perlu jika hendak membeli barangan bayi.

Anda perlu mengutamakan keperluan berbanding kehendak dan fokus kepada barang berkualiti yang sesuai dengan bajet anda.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, bahawa tumbesaran bayi ini juga cukup cepat, maka pembelian barangan juga perlu berpada-pada.

Perancangan kewangan yang bijak dapat membantu anda mengelakkan beban kewangan pada masa depan. Sumber dari debt.org menekankan bahawa membeli secara tunai atau menggunakan simpanan adalah pilihan terbaik untuk mengelakkan faedah hutang jangka panjang.

Anak sebagai Pelaburan Masa Hadapan

Gambar Hiasan- Pinterest

Sebagai bentuk kesyukuran kepada yang Maha Pencipta, kita haruslah menjaga anugerah seperti anak dengan sebaiknya.

Hal ini demikian kerana tidak semua orang mampu memilikinya, apatah lagi apabila anak kita terlahir dalam keadaan yang sempurna sifatnya.

Melalui persiapan kewangan yang rapi, anak-anak akan dapat menikmati kualiti tumbesaran yang lebih bermakna. Walaupun tidak dapat membesarkan mereka dalam suasana kemewahan, setidaknya kita ada perancangan kewangan yang rapi bagi memastikan hak mereka terpenuhi.

Secara tidak langsung, anda juga dapat mengurangkan tekanan dan masih mampu mengawal fokus di tempat kerja dan memenuhi tanggungjawab sebagai suami.

Ingatlah bahawa perancangan awal merupakan kunci untuk menikmati setiap detik bersama si kecil tanpa kebimbangan kewangan yang berlebihan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *