5 kesilapan mudah ini membuat anda menjadi mangsa ‘scam’

5 kesilapan mudah ini membuat anda menjadi mangsa 'scam'

5 kesilapan mudah ini membuat anda menjadi mangsa ‘scam’

Menyelami modus operandi penipuan dalam talian, macam-macam cara digunakan untuk menarik lebih ramai mangsa. Tidak putus usaha memberi kesedaran, perkongsian dan pendedahan demi pendedahan.

Namun masih ramai lagi yang boleh terpedaya dengan online scam ini. Muncul satu persoalan: kenapa masih ada yang boleh tertipu?

Kami kongsikan 5 sebab utama kenapa masih ada yang boleh terjerumus dalam penipuan dalam talian ini.

Via NST

1. Rasa terdesak dan sikap suka ambil risiko

Salah satu sebab utama kenapa ramai yang terpedaya dengan penipuan adalah rasa terdesak yang wujud atas pelbagai faktor hidup.

Bergantung dari seorang individu ke individu yang lain, situasi kewangan yang meruncing membuatkan ramai rasa terdesak untuk mencari lebih banyak wang dengan cara yang mudah.

Hal ini berlaku khususnya dalam jenis penipuan yang melibatkan akaun keldai, dimana seseorang itu diperdaya dengan cara ‘meminjamkan’ akaun bank mereka kepada si penipu, yang kemudiannya akan digunakan untuk mengaburi pihak berkuasa.

Rasa keterdesakan ini turut didorong dengan sikap suka mengambil risiko, terutamanya apabila mereka tidak mendapatkan maklumat lanjut tentang sesuatu tawaran terlebih dahulu.

Baca Juga :

Via Center for Shared Insight

Rasa keterdesakan ini juga boleh wujud apabila berlakunya tekanan emosi untuk mendapatkan sesuatu. Dalam kes love scams pula, ramai penipu cuba memanipulasikan keadaan emosi seseorang bagi mendapatkan wang sebanyak mungkin sebelum berusaha untuk memutuskan komunikasi dengan mangsanya.

Hasilnya, si mangsa akan terus-menerus memberikan wang sehinggalah mereka berhenti melayani kehendak si penipu.

2. Percaya buta dengan autoriti dan pihak berkuasa

Pihak autoriti, meliputi pelbagai agensi kerajaan dan badan berkanun termasuklah pihak polis dan tentera merupakan sebahagian dari institusi berperanan untuk menjaga sistem negara.

BACA  Apa kelebihan EV berbanding kenderaan konvensional? Ini fakta-fakta yang korang kena tahu

Sudah pasti dengan kredibiliti mereka, ramai yang akan menurut tanpa banyak soal sekiranya nama agensi tersebut dipetik oleh si penipu.

Dalam banyak kes, beberapa agensi yang lazimnya disebut oleh si penipu ini adalah Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Akauntan dan lain-lain.

Sindiket penipu akan menyamar menjadi salah seorang pegawai kerajaan dan akan mengada-adakan suatu kes rasmi yang mana si mangsa perlu membayar sejumlah duit bagi melangsaikan atau menutup kes tersebut.

Via Hasil.gov.my

Untuk sesetengah individu, urusan ‘rasmi’ ini adalah urusan sebenar walaupun fakta yang dinyatakan tidak semestinya benar.

Misalnya, sesetengah kes penipuan mendakwa si mangsa terlibat dalam kes jenayah di negeri lain dan untuk menutup kes, mereka perlulah membayar sejumlah wang kepada ‘pegawai’ ini.

Tidak hanya ia mempunyai unsur rasuah, ia juga bertujuan menakut-nakutkan si mangsa agar menuruti kehendak mereka.

3. Kurangnya pengetahuan teknikal sehingga membolehkan maklumat dicuri dan disalahgunakan

Penipuan dalam talian juga boleh berbentuk laman sesawang dan aplikasi yang mudah dipasangkan dalam telefon pintar. Dalam kes sebegini pula, maklumat yang dikumpulkan hasil dari penipuan ini boleh disalahgunakan oleh sindiket penipuan agar dapat memerangkap seseorang mangsa.

Laman sesawang seperti laman perbankan dalam talian dan laman iklan promosi antara bentuk popular yang selalu digunakan dalam kes-kes penipuan ini. Teknik ini dipanggil laman phishing.

Via Lowyat

Para mangsa yang tidak menyedari laman palsu ini akan memasukkan maklumat mereka, lalu maklumat tersebut akan digunakan pada hari lain.

Teknik ini termasuk dalam teknik kejuruteraan sosial (social engineering), dimana butiran khusus termasuklah nombor akaun bank dan nombor telefon.

Aplikasi hasad juga sebenarnya sejenis penipuan dalam talian, dan lebih bersifat teknikal. Untuk mangsa yang kurang tahu tentang aspek teknikal, mereka akan menjadi mangsa mudah bagi sindiket penipuan.

BACA  Penyakit jantung? Orang muda juga berisiko tinggi, berhati-hati jika anda ada tanda-tanda ini

4. Selalu bersendirian dan tak punya banyak lingkungan sosial

Mereka yang selalu bersendirian dan tidak memiliki banyak lingkungan sosial juga antara mangsa mudah bagi penipu dalam talian.

Oleh disebabkan mereka tersisih dari lingkungan sosial atau kurangnya sokongan sosial, maka mereka lebih cenderung untuk mempercayai penipu dalam talian.

Kekurangan lingkung sosial ini juga mengehadkan ketercapaian mereka terhadap berita-berita berkaitan penipuan, lagi-lagi nasihat dan bantuan berkenaan penipuan.

Via The Guardian

Golongan warga emas antara golongan yang selalu menjadi sasaran para penipu kerana mereka kurang tahu tentang perkembangan semasa khususnya berkaitan penipuan dalam talian.

Anak-anak juga biasanya sudah jauh dari rumah dan sukar memantau apa yang berlaku di telefon pintar ibu bapa mereka yang sudah tua.

Tanpa bantuan dan nasihat anak-anak yang tentunya lebih mahir dalam teknologi serta terdedah pada perkembangan semasa, golongan warga emas lebih terkesan dalam kes penipuan dalam talian.

5. Pernah ditipu dahulu dan masih dianggap mangsa mudah

Dalam beberapa kes penipuan, wujud juga kes ‘pisang berbuah dua kali’. Sekiranya seseorang mangsa itu pernah diperdayakan oleh sindiket penipuan, besar peluang maklumat mangsa itu juga masih lagi dalam simpanan maklumat sindiket tersebut.

Malah, boleh jadi pangkalan maklumat itu diberikan atau dijual oleh pihak lain.

Via Channel News

Dalam suatu kesempatan yang lain, sindiket penipuan boleh kembali menghubungi mangsa tersebut dengan operasi yang lain pula.

Jika sebelum ini seseorang mangsa itu terkena love scam, boleh jadi mangsa tersebut akan dihubungi atas operasi penipuan dimana berlaku bentuk penyamaran pegawai lain pula.

Ini kerana bagi sindiket penipuan, mangsa mudah ini lebih senang terpedaya dan senang melayani kehendak mereka. Mangsa seperti ini turut dilihat mudah dimanipulasi dan boleh diperdayakan berkali-kali.

BACA  Jangan panik kalau terlibat dengan kemalangan atau kenderaan rosak! Ini langkah-langkah yang korang boleh ambil

Kelicikan scammer tiada sempadan, perlu terus waspada

Para scammer di luar sana akan sentiasa cuba mendekatkan diri kepada anda, jadi elakkan diri anda menjadi mangsa seterusnya. Kelicikan scammer akan terus mendorong mereka untuk melakukan bermacam-macam cara untuk memperdaya orang lain demi mendapatkan habuan yang lumayan.

Oleh itu, kita haruslah terus berwaspada dan kekal ambil tahu tentang perkembangan terbaharu mengenai penipuan dalam talian yang ada.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *